Hari ini merupakan hari yang bahagia bagi kesemua mereka kerana baru sahaja tamat menduduki peperiksaan akhir semester. Pelbagai perasaan bercampur baur di dalam hati mereka. Perasaan gembira kerana peperiksaan telah tamat dan juga perasaan takut apabila menanti keputusan peperiksaan yang akan diketahui pertengahan bulan ini. Namun apa yang lebih menggembirakan mereka ialah peluang bercuti dan pulang ke kampong berjumpa dengan keluarga tercinta. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal jauh.
Dari jauh Huzaifah melihat gelagat dan teletah pelajar siswa dan siswi yang lain bersalaman dan ada terdapat juga pelajar siswi yang saling berpelukan sambil menitiskan airmata apabila bersalaman sesame mereka.
“ Ala perempuan sikit-sikit nak menangis. Lagipun bukannya lama sangat pun cuti sem ni sebulan je. Sem depan boleh jumpa lagi”, monolog Huzaifah sendirian.
Dari jauh juga Huzaifah melihat ada pelajar yang berpusu-pusu membawa barang-barang mereka menuju ke perhentian teksi untuk pergi ke stesen bas dan keretapi yang berdekatan. Tersenyum Huzaifah melihat gelagat mereka. Pada waktu-waktu sebeginilah perkhidmatan teksi amat diperlukan untuk menghantar pelajar siswa dan siswi ke perhentian bas dan keretapi untuk pulang ke kampong bercuti. Selama sebulan cuti semester ini semua kolej akan sunyi sepi kerana semua penghuninya yang terdiri dari pelajar siswa dan siswi pulang ke kampung masing-masing untuk bercuti sementara menunggu semester hadapan untuk membuka tirainya.
Di satu sudut yang lain pula Huzaifah melihat Amar sedang berlari tercungap-cungap dari Klinik Kesihatan Universiti yang berada tidak jauh dari situ tanpa menghiraukan orang lain di sekelilingnya termasuk Huzaifah yang berdiri kehairanan melihat Amar yang begitu termengah-mengah. Huzaifah bertanya sendirian di dalam hatinya apa sebenarnya yang berlaku kepada Amar. Lalu Huzaifah segera berlari mendapatkan Amar yang kini berjalan di hadapannya sambil termengah-mengah kepenatan.
“ Amar, Amar, Amar”, jerit Huzaifah dari belakang.
Amar yang mendengar jeritan kuat Huzaifah itu segera menoleh ke belakang.
“ Huh, kau rupanya Huzaifah. Ingatkan siapa tadi. Maaflah aku tak perasan pun kau ada kat belakang aku”,balas Amar dalam nada kepenatan.
“ Yelah, manalah kau nak perasan aku kalau laju sangat kau jalan. Kenapa aku tengok kau tergesa-gesa je ni?”, soal Huzaifah kepada Amar untuk mendapatkan jawapan Amar.
“ Tak ada Huzaifah, aku baru je balik dari Klinik Kesihatan”,
“ Kenapa, kau tak sihat ke? Ala takkanlah dah habis periksa pun nak demam kot. Lagipun kan pagi esok kau dah nak balik rumah. Takkan lah masih lagi Homesick kot?”, sampuk Huzaifah.
“ Ish kau ni Huzaifah suka sangat menyampuk kalau aku belum habis cakap. Bukan aku yang sakitlah tapi kawan kita yang sakit. Aku baru je hantar dia ke Klinik Kesihatan tadi”, balas Amar.
“ La yeke. Aku ingatkan kau yang sakit tadi. Habis tu siapa kawan kita yang sakit tu?”, soal Huzaifah ingin tahu.
“ Iqram. Aku baru je hantar dia ke Klinik Kesihatan untuk pemeriksaan. Aku pun tak tau kenapa. Sebab masa keluar dari dewan periksa tadi tiba-tiba je di jatuh pengsan. Sekarang ni dia masih lagi tak sedarkan diri dan pihak Klinik Kesihatan nak bawak dia pergi ke hospital”.
“ Dan sekarang ni aku nak pergi ke bilik Iqram nak tolong kemaskan pakaiannya. Sebab kemungkinan besar pihak Klinik Kesihatan kata dia akan ditahan di wad”, sambung Amar lagi.
“ Oh yeke. Patutlah aku tak perasan pun dia tadi masa keluar dari dewan. Sham pun ada tanya aku tadi sama ada nampak Iqram atau tak sebab katanya diaorang nak balik kampung naik bas malam ni”, balas Huzaifah.
“ Itulah masalahnya. Tak apa nanti kau tolong bagitau kat Sham ye. Aku dah lambat ni sebab lepas ni aku nak kena tumpang kereta Prof. Norasilah ke hospital nak hantar pakaian Iqram. Kau nak ikut sekali?”,soal Amar.
“ Tak mengapalah. Kau pergi dulu nanti aku akan pergi sendiri lagipun aku nak pergi bilik Sham nak bagitau dia. Kalau ada apa-apa hal nanti kau telefon aku”, balas Huzaifah.
“ Okey Huzaifah aku pergi dulu ye”, ujar Amar yang segera berlari menuju ke bilik Iqram yang terletak di kolej Rimba.
Huzaifah melihat Amar yang berlari laju dan dalam beberapa minit tidak lagi kelihatan kelibat Amar dari tempatnya berdiri. Dalam hatinya masih lagi tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku kepada Iqram. Selama mereka berkawan rapat tidak pula pernah terjadi perkara sebegini. Sudah hampir sebulan Huzaifah dan Iqram tidak bertegur sapa. Namun tidak seorang pun yang tahu perkara ini walaupun secara zahirnya hubungan mereka tidak lagi serapat seperti selalu. Kalau tak, kemana sahaja mereka pergi pasti berdua sehingga ada rakan-rakan yang menggelarkan mereka sebagai kembar. Tapi entah mengapa sejak sebulan yang lalu hubungan mereka tidak lagi serapat dahulu kerana satu peristiwa yang benar-benar menguji persahabatan mereka.
jangan lupa nantikan sambungan cerpen ini...................
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

1 comment:
bt la pnjg2 ckit..
br je nk feel da hbs...:(
(k.ain y ckp)
Post a Comment