Saturday, February 21, 2009

CERPEN- WARKAH BUAT SAHABAT ( ep.akhir)

“ Tak mengapalah Huzaifah. Aku pun tak pernah menyalahkan kamu semua terutamanya kau Huzaifah dengan apa jua yang berlaku. Malahan aku berasa berterima kasih dan bersyukur kerana sepanjang hayatku ini aku memiliki kawan-kawan seperti kamu semua”, ujar Iqram lagi dalam nada yang tersekat-sekat.

Keadaan Iqram yang makin tenat dan nazak itu membuatkan rakan-rakannya yang lain begitu sedih. Huzaifah yang berada disamping Iqram tidak henti-henti membisikkan kalimat Lailahhaillallah dan shahadah ditelinga Iqram sambil Iqram mengikutnya.

Beberapa minit kemudian datang seorang doktor dan jururawat untuk memeriksa Iqram. Akhirnya Iqram menghembuskan nafasnya yang terakhir dan perlahan –lahan matanya tertutup sambil bibirnya mengukirkan senyuman yang turut disaksikan oleh rakan-rakannya yang lain. Tidak henti-henti tangisan dan airmata yang mengalir di pipi semua yang hadir disitu terutamanya Huzaifah yang begitu merasakan kehilangan seorang sahabat yang begitu akrab dan rapat dengannya selama ini. Perlahan-lahan Huzaifah menutup sekujur tubuh sahabatnya itu dengan selimut.

Serentak dengan itu, perlahan-lahan Huzaifah keluar dari wad itu dengan badannya yang menggigil dan seakan-akan mahu rebah kerana seolah-olah tidak percaya dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Segalanya yang berlaku seakan-akan mimpi namun segalanya adalah realiti yang harus diakui bahawa dia telah kehilangan seorang sahabat yang baik dan rapat dengannnya selama ini. Huzaifah mendapatkan kerusi yang terdapat di luar wad itu dengan airmata yang tidak henti-henti mengalir.

Beberapa jam kemudian mayat Iqram telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk disemadikan di tanah perkuburan di kampung halamannya.

Huzaifah mengambil keputusan untuk turut sama menyertai majlis pengebumian dan majlis tahlil Iqram di kampung halamannya yang terletak di Selangor dengan mengikut Sham balik dengan menaiki bas mengikut tiket yang telah dibeli oleh Iqram dan Sham beberapa minggu yang lalu untuk pulang cuti semester yang bermula esok.

Waktu berlalu dengan pantas dan tanpa disedari rupanya telah seminggu Iqram meninggal dunia. Sepanjang seminggu itu jugalah Huzaifah menghabiskan masanya dirumah Iqram sebagai penghormatan terakhir buat sahabat karibnya itu bagi turut sama menguruskan upacara pengebumian dan majlis tahlil yang dilakukan oleh keluarga Iqram.

“ Huzaifah, ni ada lagi sepucuk surat buat kau yang ditulis oleh Iqram”, kata Sham sambil menghulurkan sepucuk surat yang bersampul putih tertera di hadapannya “ Warkah Buat Sahabat” sebelum Huzaifah memulakan perjalanannya dengan menaiki bas untuk balik ke rumahnya di Kedah.

“ Mana kau jumpa surat ni?” soal Huzaifah kepada Sham.

“ Aku jumpa dalam diari Iqram masa aku tolong keluarga Iqram kemaskan barang-barang dia untuk di bawak balik ke rumahnya hari tu. Untuk pengetahuan kau surat ni ditulis sehari sebelum Iqram menghembuskan nafasnya yang terakhir. Jadi dia tuliskan surat ni untuk kau sebab dia takut kau tak datang melawat dia sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir”, balas Sham.

“ Okey, terima kasih Sham. Aku gerak dulu ye. Jaga diri kau baik-baik ye. Semester depan kita jumpa lagi”, ujar Huzaifah sambil bersalaman dengan Shamsul.

“ Sama-sama. Kau pun jaga diri baik-baik ye. Aku tau kau masih lagi bersedih dengan pemergian Iqram sebab dia sahabat baik kau. Tapi yang pergi biarkan pergi dan kita yang masih hidup ini harus teruskan kehidupan kita. Yang penting kita doakan saja semoga roh Iqram sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dan kekasih-kekasih Allah hendaknya”.

“ Aku tau tu semua. Okeylah bas dah jalan ni. Aku naik dulu ye. Kita jumpa lagi semester depan. Assalammualaikum”, ujar Huzaifah lagi.

Bas semakin jauh bergerak meninggalkan Perhentian Puduraya untuk menuju ke destinasi yang berikutnya. Di dalam bas itu Huzaifah segera membuka sampul surat yang diberikan oleh Sham kepadanya sebentar tadi.

“ Warkah Buat Sahabatku, Huzaifah……………………

Assalammualaikum. Kehadapan sahabatku. Mungkin ini adalah warkah terakhir yang aku titipkan buatmu sahabatku. Untuk pengetahuanmu, aku begitu bersyukur kepada Ilahi kerana aku ditemukan denganmu yang sentiasa saja mengambil berat tentang aku, mengajar aku tentang erti sebuah persahabatan, erti sebuah kehidupan dan sebagainya yang begitu bererti dalam hidupku. Terima kasih aku ucapkan padamu atas segala tunjuk ajar dan bimbingan yang kau berikan kepadaku sepanjang hayatku ini. Dalam warkah terakhir ini sekali lagi aku mohon kemaafan daripadamu atas segala salah dan silap yang aku lakukan kepadamu. Satu yang perlu kau tau pengalaman yang aku perolehi sepanjang kehidupan ku ini takkan aku lupakan buat selama-lamanya walaupun nyawa di kandung tanah. Terima kasih kepadamu dan rakan-rakan yang lain. Aku sentiasa mendoakan kejayaan, kesejahteraan dan kebahagiaanmu di dunia dan akhirat kerana kaulah sahabatku yang terbaik pernah aku kenali….Assalammualaikum.
Sahabatmu,
Iqram.

Sejurus selesai saja Huzaifah membaca surat itu, serentak dengan itu berderaian airmata mengalir dipipinya seolah-olah tidak mampu lagi ditahan olehnya mengenangkan sahabat karibnya yang kini berada di dunia lain.

“ Iqram, aku pun nak kau tahu yang sebenarnya aku pun turut bersyukur kerana aku dikurniakan sahabat yang baik seperti kau. Aku tak pernah menaruh dendam ataupun amarah kepadamu atas apa yang berlaku selama ini kerana disebalik apa yang berlaku ini sedikit sebanyak mengajar aku erti sebuah persahabatan. Sebagai sahabat aku pun sentiasa mendoakan agar kau berbahagia di sana wahai sahabatku”,monolog Huzaifah sendirian di dalam hatinya sambil mengesat airmatanya yang tidak henti-henti mengalir membasahi pipinya.

“ Iqram, aku doakan semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman”, ujar Huzaifah sendirian.

Al-fatihah……………………………………………..

TAMAT

KETAHUILAH HIDUP INI HANYA SEMENTARA, SEBAGAI MANUSIA KITA TIDAK DAPAT LARI DARI MELAKUKAN SALAH DAN SILAP. SEBAIKNYA SEBAGI MANUSIA YANG HIDUP MENUMPANG DALAM DUNIA INI KITA SEHARUSNYA SENTIASA BERSYUKUR DENGAN APA JUA YANG KITA MILIKI. SESUNGGUHNYA HIDUP INI HANYALAH SEBUAH PERJALANAN YANG PANJANG UNTUK KITA KUMPULKAN SEBERAPA BANYAK BEKALAN UNTUK KITA MENUJU KE HARI AKHIRAT YANG LEBIH ABADI UNTUK BERTEMU DENGAN PENCIPTA YANG MAHA ESA. SEBAGAI MANUSIA, SEGALA YANG ADA DI DUNIA INI HANYALAH PINJAMAN DARINYA. SEBAGAI MANUSIA KITA SEHARUSNYA PERLU REDHA DENGAN APA JUA YANG BERLAKU DALAM KEHIDUPAN KITA SEBAGI SURATAN YANG TELAH DITENTUKAN OLEHNYA. KITA SEHARUSNYA REDHA DENGAN QADA’ DAN QADAR YANG TELAH DITENTUKAN OLEHNYA. SEBAGAI MANUSIA JUGA KITA SEHARUSNYA SENTIASA BERTAUBAT DAN MEMOHON KEAMPUNAN DAN KEMAAFAN ANDAINYA KITA MELAKUKAN KESILAPAN DAN KESALAHAN KEPADANYA DAN ORANG YANG KITA TELAH LUKAI. SEBAGAI MANUSIA JUGA KITA SEHARUSNYA MAMPU MENERIMA KEMAAFAN DARI ORANG LAIN. JANGAN KESILAPAN YANG SATU ITU DIANGKAT HINGGA MELUPAKAN SEGALA KEBAIKAN YANG PERNAH DILAKUKAN SEBELUM INI. KITA HANYALAH MANUSIA BIASA. SEDABGKAN NABI JUFGA AMPUNKAN UMMAT, INIKAN KITA SEKADAR MANUSIA BIASA…………………………………………….

terima kasih kepada sahbat-sahabat yang sudi membaca. semoga cerpen ini dapat memberi motivasi dan tauladan kepada kita dalam menempuhi hari-hari yang mendatang. sayangilah sahabat anda...................

Thursday, February 19, 2009

CERPEN- WARKAH BUAT SAHABAT ( ep.5)

Huzaifah lalu menyambut surat yang diberikan oleh Sham kepadanya yang ditulis oleh Iqram. Lalu, Huzaifah bergerak menuju ke satu sudut lain untuk membaca isi kandungan surat yang ditulis oleh Iqram untuknya.

“ Ke hadapan sahabatku Huzaifah………………………………..
Assalammualaikum. Semoga warkah yang aku titipkan buat kau ini tidak mengganggu hari-hari yang kau tempuhi dengan bahagianya. Aku titipkan warkah ini buat kau bukanlah bertujuan untuk memohon simpati dari kau apatah lagi untuk memohon belas kasihan dari kau. Tetapi tujuan sebenar aku menulis warkah ini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk memohon kemaafan dan keampunan dari kau atas apa yang telah aku lakukan pada kau sehingga membuatkan kau benar-benar marah dan benci terhadapku. Aku tahu dan sedar yang aku telah melakukan kesilapan yang besar dalam persahabatan kita sehingga membuatkan kau berasa sedih dan terhina dengan perlakuanku. Aku benar-benar menyesal akan apa yang telah berlaku. Aku sendiri tidak pernah mengiginkan semuanya berakhir begini dalam persahabatan yang telah kita bina. Panas yang ku sangka hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Satu perkarayang perlu kau ketahui aku tidak pernah berniat untuk memalukan kau dan apatah lagi membiarkan semuanya jadi begini. Tapi ketahuilah, aku jua insan biasa yang kerdil dan hina. Aku juga tidak berdaya untuk menolak segala apa yang telah terjadi namun yang pasti, aku sentiasa mengharapkan keampunan dan kemaafan dari Nya atas apa jua yang telah terjadi. Aku bersyukur kerana sepanjang perjalanan hidup ini aku dikurniakan teman-teman yang sentiasa memberikan aku sokongan dan dorongan yang tidak terhingga dan sentiasa berada disamping aku dalam senang mahupun susah. Paling aku bersyukur apabila Allah mengurniakan aku teman yang baik seperti kau Huzaifah. Alhamdulillah sepanjang hayatku ini aku begitu gembira apabila kau sentiasa sahaja menjadi temanku di kala senang atau susah. Kaulah sahabatku dalam ketawa mahupun duka. Tidak pernah sekali terlintas dihati aku untuk merahsiakan tentang penyakit yang aku hidapi ini dari pengetahuan rakan-rakan yang lain terutamanya kau Huzaifah. Tetapi aku tak mahu menyusahkan mahupun menimbulkan perasaan bimbang kepada kau dan rakan-rakan yang lain. Sebelum aku mengakhiri warkah ini aku mohon kepada kau untuk memaafkan aku walaupun tidak lahir dari dalam hati kau tetapi aku mengharapkan agar cukuplah sekadar ia lahir dari mulut kau sekurang-kurangnya ianya mampu membuat hatiku senang sebelum aku menghembuskan nafas terakhirku ini. Andainya ini warkah terakhir buatmu kerana mungkin kita tiada lagi kesempatan untuk bertemu, sekali lagi aku mohon kepadamu kemaafan atas segala kesilapan dan kesalahan yang aku lakukan dari hujung rambut sampai hujung kaki. Aku sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaanmu wahai sahabatku. Insyaallah………………………………………..
Sahabatmu,
Iqram

“ Iqram……………”, perlahan-lahan Huzaifah menyebut nama sahabatnya itu sambil berderai airmata yang mengalir di pipinya bagaikan tiada henti walaupun cuba ditahan.

Perlahan-lahan juga Huzaifah melipat kembali warkah yang ditulis oleh Iqram untuknya sebagai warkah untuk memohon maaf. Huzaifah mendapatkan kerusi yang terdapat di luar wad di mana Iqram ditempatkan sehingga airmatanya tidak henti-henti mengalir mengenangkan nasib sahabatnya itu.

Apa yang lebih membuatkan Huzaifah kesal ialah disaat sahabatnya itu memerlukan teman untuk mengadu namun dia tiada disampingnya. Sedangkan sewaktu dia sakit dahulu Iqram lah satu-satunya sahabat yang sentiasa berada disisinya walaupun sekadar demam biasa. Betapa sebenarnya Huzaifah begitu kesal dengan apa yang berlaku.

“ Doktor, doktor, doktor “, kedengaran suara Sham kelam kabut dari dalam wad Iqram ditempatkan.

“ Kenapa ni Sham? Apa yang dah berlaku”, soal Huzaifah.

“ Iqram…”, jawab Sham sambil termengah-mengah.

“ Aku rasa baik kau cepat masuk melawat Iqram. Aku nak panggil doktor sekejap”, sambung Sham lagi.

Sham segera begegas menuju ke kaunter untuk mendapatkan doctor. Serentak itu juga Huzaifah segera masuk ke dalam wad Iqram kerana dia takut jika tiada kesempatan lagi untuk dia bertemu dengan Iqram lagi buat kali yang terakhir.

“ Iqram, ni aku sahabat kau Huzaifah”, kata Huzaifah sambil memegang erat tangan sahabatnya itu.

“ Huzaifah, akhirnya kau datang jugak melawat aku”, balas Iqram dengan nada yang tersekat-sekat.

“ Huzaifah, mungkin aku dah tak ada masa lagi. Jadi aku nak minta maaf banyak-banyak kepada kau atas segala salah dan silap aku. Aku tau aku ada buat banyak salah kat kau”, sambung Iqram lagi dengan nada yang tersekat-sekat sampai airmata yang tumpah ke pipinya tanpa henti-henti.

“ Iqram, untuk pengetahuan kau aku dah lama maafkan kau dan aku tak pernah pun ambil hati dengan apa yang berlaku antara kita”, ujar Huzaifah yang tidak dapat menahan sebak melihat keadaan sahabat baiknya itu.

“ Aku pun betul-betul mohon maaf kepada kau sebab disaat kau menderita kesakitan aku tak ada disamping kau. Malahan apa yang lebih menyedihkan aku langsung tak tau yang kau menderita penyakit ni Iqram”, sambung Huzaifah lagi sambil airmata kekesalan tidak henti-henti berlinangan di pipinya.

Sahabat-sahabatnya yang lain juga turut sama mengalirkan airmata melihat apa yang berlaku di hadapan mereka. Mereka juga turut berasa menyesal kerana selama ini mereka tidak tahu akan adanya sengketa diantara dua orang sahabat karib itu.

nantikan sambungan seterusnya..............................

Tuesday, February 17, 2009

siapakah kita......???

Siapakah orang yang sombong?
Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.

Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.

Siapakah orang dunggu kepala otaknya?
Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya

Siapakah orang yang kuat?
Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan.

Siapakah orang yang lemah?
Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu

Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s. a. w.

Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a. s.

Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi.

Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.

Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.

Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.

Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.

Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

Tuesday, February 10, 2009

CERPEN- WARKAH BUAT SAHABAT ( ep.4)

Kring,kring…………………..

Telefon bimbit Huzaifah berdering dan dengan segera Huzaifah menjawab panggilan telefon itu yang datangnya dari Shamsul.

“ Hello, Huzaifah ni aku Sham”, kata Sham memulakan perbualan.

“ Hah ye Sham, kenapa?”, tanya Huzaifah.

“ Takdelah aku cuma nak tanya kau tak datang hospital ke melawat Iqram? Kawan-kawan sekelas kita yang lain semua dah sampai cuma kau sorang je yang tak datang lagi”, ujar Sham.

“ Oh yeke. Aku rasa aku tak dapat datanglah sebab aku ada hal penting nak uruskan dengan pihak pentadbiran untuk aktiviti semester depan sebelum balik ni. Sebab lepas ni dah tak sempat takut pejabat tutup pulak”.

“ Lagipun sepatutnya aku dengan Iqram yang kena uruskan benda ni sebelum kita balik”, sambung Huzaifah lagi.

“ Ala, aku rasa esok masih sempat lagi nak uruskan semua tu. Lagipun esok kan hari bekerja dan pejabat takkan tutupnya. Lagipun kau kan balik petang esok jadi masih sempat lagi nak uruskan semua tu”.

“ Lagipun kau dengan Iqram kan kawan rapat dah macam kembar pun takkanlah kembar sakit pun tak nak tengok kot. Lagipun ada sesuatu yang sangat penting yang aku nak bagitau kat kau”, sambung Sham lagi.

“ Apa dia yang penting sangat kau nak bagitau aku tu? Cakap jelah kat telefon sekarang”, kata Huzaifah dengan nada yang ingin tahu.

“ Ala Huzaifah susahlah kalau nak cakap dalam telefon sekarang. Lagipun aku takut tak sempat je. Ala datanglah sekejap pun jadilah”, rayu Sham kepada Huzaifah.

“ Baiklah, dalam lima belas minit lagi aku sampai”, jawab Huzaifah.

Lalu mereka mengakhiri perbualan telefon. Shahrul yang berada di sebelah Huzaifah juga menasihatkan Huzaifah untuk pergi ke hospital melawat Iqram. Lalu, Huzaifah mengambil keputusan untuk pergi ke hospital melawat Iqram.
Huzaifah segera bersiap-siap untuk pergi ke hospital dan segera memandu keretanya menuju ke hospital. Sepanjang perjalanan fikirannya tidak henti-henti memikirkan kata-kata Sham yang mengatakan ada hal mustahak yang ingin diberitahunya kepada Huzaifah. Fikiran Huzaifah terus melayang memikirkannya.
Sesampai sahaja di hospital Huzaifah segera menuju ke wad Iqram ditempatkan. Disitu dia dapat melihat wajah murung dan suram rakan-rakan sekelasnya yang lain. Ini benar-benar mebuatkan jantung Huzaifah berdegup kencang melihatkan suasana yang suram itu. Apakah sebenarnya yang telah terjadi? Itulah persoalan yang bermain di fikirannya.

“ Hah Huzaifah, sampai jugak kau akhirnya ingatkan kau tak dapat datang”, tegur Sham.

“ Hah Sham, apa dia hal mustahak yang kau nak bagitau aku?”, tanya Huzaifah yang masih lagi temangu-mangu dengan suasana disitu.

“ Tak ada apa sebenarnya Huzaifah. Tapi aku takut tak sempat je. Mungkin kau tak tahu yang sebenarnya melalui pemeriksaan doktor ke atas Iqram sebentar tadi mengesahkan yang Iqram menghidapi barah otak”, ujar Sham dengan penuh hati-hati dengan nada yang sedih.

Mendengar penjelasan dari Sham tadi benar-benar membuatkan huzaifah tergamam seolah-olah tak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh Sham tadi. Yelah mana taknya selama mereka berkawan tidak langsung Iqram menunjukkan tanda-tada yang dia menghidapi barah otak. Cuma sekali-sekala adalah dia mengadu sakit kepala dan bila ditanya dia hanya menjawab sekadar sakit kepala biasa saja.
Apatah lagi melihatkan peribadi Iqram yang sering saja membuat kelakar dan menggelikan hati apabila bergaul dengannya dan rakan-rakan yang lain. Mungkin dengan cara itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan rasa sakitnya dan lantas menyumbunyikan penyakit yang dihidapinya dari pengetahuan Huzaifah dan rakan-rakannya yang lain.

“ Satu perkara lagi yang perlu kau tau Huzaifah, doktor mengatakan yang penyakit barah otak yang dihidapi Iqram ni dah sampai ke peringkat yang kritikal. Dan doktor jugak bagitau mungkin Iqram tak ada masa yang panjang lagi”, ujar Sham sambil mengalirkan airmata.

“ Habis tu keluarga dia dah tau ke belum?”, soal Huzaifah.

“ Mereka baru je diberitahu oleh pihak hospital sebentar tadi dan sekarang mereka dalam perjalanan ke sini”.

“ Tapi aku nak tanya kau. Pernah tak Iqram bagitau kau tentang penyakit dia ni? Yelah korang berdua kan sangat rapat manalah tau kalau dia ada ceritakan tentang penyakitnya pada kau”, soal Sham.

“ Entahlah Sham. Tapi setahu aku dia tak pernah pun bagitau aku tentang apa-apa penyakit yang dia hidapi.
Lagipun kau kan tau yang dia seorang yang sangat kelakar dan sentiasa buat orang gembira dan ketawa dengan lawaknya. Sebab tu aku pun tak ada syak apa-apa pada dia”, terang Huzaifah yang turut berasa simpati kepada Iqram.

“ Oh macam tu. Tak pelah kau pergilah masuk dalam tengok dia. Mungkin ada sesuatu yang dia nak cakapkan pada kau. Yelah dari tadi dia asyik sebut je nama kau”.

“ Oh ye, sebelum aku terlupa ada surat yang Iqram suruh aku berikan pada kau. Dia suruh aku bagi kat kau sebab dia ingat kau tak datang lagipun dia takut tak sempat nak bagi sendiri pada kau”, kata Sham kepada Huzaifah sambil menyerahkan sepucuk surat bersampul putih kepada Huzaifah.

nantikan sambungan seterusnya dalam episod yang akan datang...................

Sunday, February 8, 2009

CERPEN- WARKAH BUAT SAHABAT ( ep.3)

Sepanjang perjalanan pulang menuju ke kolej fikiran Huzaifah tidak henti-henti memikirkan peristiwa yang membuatkan hatinya menjadi marah dan geram kepada Iqram. Sedangkan mereka berdua sangat rapat sekali sebelumnya. Tapi peristiwa itu benar-benar membuatkan Huzaifah berkecil hati dengan Iqram dan akhirnya menyebabkan mereka langsung tidak bertegur sapa. Namun tiada seorang pun yang perasan akan persengketaan yang berlaku antara mereka berdua kerana mereka beranggapan masing-masing sedang sibuk dengan tumpuan masing-masing untuk peperiksaan akhir semester yang sedang berlangsung. Sedangkan pada hakikatnya terdapat persengketaan antara mereka.

“ Assalammualaikum “, Huzaifah memberi salam sesampai sahaja dia di muka pintu bilik Sham.

“ Waalaikumussalam”, sahut Nawi dari dalam bilik yang merupakan rakan sebilik Sham.

“ Oh Nawi, aku datang ni nak jumpa Sham. Die ada kat dalam bilik tak? Aku ada hal mustahak nak bagitau kat dia”, beritahu Huzaifah akan tujuan sebenar kedatangannya ke situ.

“ Sham tak ada kat bilik lah Huzaifah. Tadi dia baru je bergegas pergi ke hospital. Katanya ada kecemasan. Iqram masuk hospital”, jawab Nawi.

“ Oh macam tu ke? Sebenarnya tujuan aku datang ke sini juga adalah untuk bagitau dia hal yang sama. Sebab katanya mereka nak balik sama-sama malam ni”, balas Huzaifah lagi.

“ Kalau macam tu tak mengapalah.Aku minta diri dululah ye”, sambung Huzaifah lagi.

Lalu Huzaifah pun berlalu menuju balik ke biliknya yang terletak selang lima bilik dari bilik Sham. Sepanjang perjalanan balik ke biliknya, Huzaifah tidak henti-henti memikirkan tentang apa sebenarnya yang berlaku kepada Iqram sehingga menyebabkan dia jatuh pengsan tadi. Dalam fikirannya juga dia tidak henti-henti memikirkan persengketaan yang berlaku antara dia dan Iqram.

“ Huzaifah, aku nak minta maaf banyak-banyak dari kau. Aku tau aku dah buat salah yang benar-benar buat kau marah pada aku. Aku nak minta maaf sangat-sangat dari hujung rambut sampai hujung kaki. Tapi aku langsung tak pernah pun berniat nak sakitkan hati kau apatah lagi nak buat kau marah. Aku tau kata-kata aku semalam benar-benar dah buat kau terluka dan terasa hati. Tapi aku tak pernah berniat nak menyakitkan hati kau. I’m so sorry”, begitulah ucapan maaf yang yang disampaikan oleh Iqram kepada Huzaifah yang disampaikan melalui pesanan ringkas (sms).

Huzaifah merenung kembali mesej yang disimpan di dalam telefon bimbitnya yang diberikan oleh Iqram.

“ Huzaifah, maafkan aku sekali lagi. Mungkin hati kau belum terbuka lagi nak memaafkan aku atas apa yang telah aku lakukan pada kau. Mungkin aku jugak akan melakukan perkara yang sama andainya aku berada di tempat kau. Tapi satu yang perlu kau tahu aku benar-benar menyesal dengan apa yang telah berlaku dan aku benar-benar mengharapkan keampunan dan kemaafan dari kau. apa yang lebih aku harapkan agar kau tak menyimpan dendam terhadapku. Janganlah jadikan kesilapan ini sebagai batu penghancur kepada persahabatan yang telah lama kita bina ”, mesej yang dihantar oleh Iqram selang beberapa hari selepas itu.

Huzaifah membaca kembali mesej-mesej yang diberikan oleh Iqram yang disimpan di dalam telefon bimbitnya. Namun, setiap mesej yang diberikan oleh Iqram itu langsung tidak dibalas oleh Huzaifah kerana hatinya masih marah lagi dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Iqram ke atasnya yang benar-benar membuatkan hatinya terluka. Kata-kata Iqram yang memarahinya di hadapan rakan-rakan yang lain benar-benar membuatkan dirinya rasa terhina di hadapan khalayak ramai.

“ Wei, jauh kau termenung”, peranjat Shahrul dari belakang.

“ Ish kau ni Shahrul sama je dengan Sham suka sangat buat aku terkejut. Kalau ye pun bagilah salam dulu.Agaknya korang semua memang suka tengok aku mati terkejut agaknya”, marah Huzaifah.

“ Ala Huzaifah aku minta maaflah. Aku saja je nak bergurau dengan kau. Yelah lagipun aku tengok kau jauh termenung apa yang kau fikir?”.

“ Oh ya, cakap pasal Sham tadi aku tengok dia tergesa-gesa naik teksi nak pergi mana?”, soal Shahrul.

“ Dia nak pergi hospital melawat Iqram yang tadi jatuh pengsan lepas habis periksa tadi”, balas Huzaifah.

“ Habis tu kau tak pergi tengok sekali ke? Bukan ke kau dengan Iqram tu bukan main rapat. Macam kembarlah katakan mana je ada engkau mesti ada dia. Mana je ada dia mesti ada kau”, ujar Shahrul.

“ Memanglah. Tapi itu dulu. Sebenarnya dah dekat sebulan lebih aku dengan Iqram tak bertegur sapa”, terang Huzaifah kepada Shahrul.

“ Oh yeke. Patutlah aku dah lama tak nampak korang berdua jalan sama-sama lagi. Tapi kenapa?”, soal Sharul.

“ Entahlah, aku sebenarnya rasa marah sangat dekat dia sebab hari tu dia marah-marah aku depan orang ramai. Malu aku dibuatnya. Kalau betul pun dia nak tegur aku tapi biarlah dengan cara yang betul ini tak dia marah aku depan orang ramai. Itu yang buat aku marah sangat kat dia”, terang Huzaifah kepada Shahrul.

“ Oh pasal tu je ke. Aku ingat kenapa. Ala tu semua perkara kecik jelah. Maafkan jelah dia. Lagipun mungkin dia tak ada niat pun nak malukan kau depan orang ramai”, ujar Shahrul.

“ Entahlah Shahrul. Aku pun tak tau. Tapi aku benar-benar rasa terhina bila dia buat aku macam tu. Selama ni aku tak pernah pun malukan dia depan orang ramai macam yang dia buat kat aku. Aku rasa kalau kau kat tempat aku pun mungkin kau akan rasa apa yang aku rasa”, ujar Huzaifah dalam nada sedih.

Kring,kring…………………..

nantikan sambungan cerpen ini untuk episod 4...............

CERPEN-WARKAH BUAT SAHABAT (ep. 2)

Hari ini merupakan hari yang bahagia bagi kesemua mereka kerana baru sahaja tamat menduduki peperiksaan akhir semester. Pelbagai perasaan bercampur baur di dalam hati mereka. Perasaan gembira kerana peperiksaan telah tamat dan juga perasaan takut apabila menanti keputusan peperiksaan yang akan diketahui pertengahan bulan ini. Namun apa yang lebih menggembirakan mereka ialah peluang bercuti dan pulang ke kampong berjumpa dengan keluarga tercinta. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal jauh.

Dari jauh Huzaifah melihat gelagat dan teletah pelajar siswa dan siswi yang lain bersalaman dan ada terdapat juga pelajar siswi yang saling berpelukan sambil menitiskan airmata apabila bersalaman sesame mereka.

“ Ala perempuan sikit-sikit nak menangis. Lagipun bukannya lama sangat pun cuti sem ni sebulan je. Sem depan boleh jumpa lagi”, monolog Huzaifah sendirian.

Dari jauh juga Huzaifah melihat ada pelajar yang berpusu-pusu membawa barang-barang mereka menuju ke perhentian teksi untuk pergi ke stesen bas dan keretapi yang berdekatan. Tersenyum Huzaifah melihat gelagat mereka. Pada waktu-waktu sebeginilah perkhidmatan teksi amat diperlukan untuk menghantar pelajar siswa dan siswi ke perhentian bas dan keretapi untuk pulang ke kampong bercuti. Selama sebulan cuti semester ini semua kolej akan sunyi sepi kerana semua penghuninya yang terdiri dari pelajar siswa dan siswi pulang ke kampung masing-masing untuk bercuti sementara menunggu semester hadapan untuk membuka tirainya.

Di satu sudut yang lain pula Huzaifah melihat Amar sedang berlari tercungap-cungap dari Klinik Kesihatan Universiti yang berada tidak jauh dari situ tanpa menghiraukan orang lain di sekelilingnya termasuk Huzaifah yang berdiri kehairanan melihat Amar yang begitu termengah-mengah. Huzaifah bertanya sendirian di dalam hatinya apa sebenarnya yang berlaku kepada Amar. Lalu Huzaifah segera berlari mendapatkan Amar yang kini berjalan di hadapannya sambil termengah-mengah kepenatan.

“ Amar, Amar, Amar”, jerit Huzaifah dari belakang.

Amar yang mendengar jeritan kuat Huzaifah itu segera menoleh ke belakang.

“ Huh, kau rupanya Huzaifah. Ingatkan siapa tadi. Maaflah aku tak perasan pun kau ada kat belakang aku”,balas Amar dalam nada kepenatan.

“ Yelah, manalah kau nak perasan aku kalau laju sangat kau jalan. Kenapa aku tengok kau tergesa-gesa je ni?”, soal Huzaifah kepada Amar untuk mendapatkan jawapan Amar.

“ Tak ada Huzaifah, aku baru je balik dari Klinik Kesihatan”,

“ Kenapa, kau tak sihat ke? Ala takkanlah dah habis periksa pun nak demam kot. Lagipun kan pagi esok kau dah nak balik rumah. Takkan lah masih lagi Homesick kot?”, sampuk Huzaifah.

“ Ish kau ni Huzaifah suka sangat menyampuk kalau aku belum habis cakap. Bukan aku yang sakitlah tapi kawan kita yang sakit. Aku baru je hantar dia ke Klinik Kesihatan tadi”, balas Amar.

“ La yeke. Aku ingatkan kau yang sakit tadi. Habis tu siapa kawan kita yang sakit tu?”, soal Huzaifah ingin tahu.

“ Iqram. Aku baru je hantar dia ke Klinik Kesihatan untuk pemeriksaan. Aku pun tak tau kenapa. Sebab masa keluar dari dewan periksa tadi tiba-tiba je di jatuh pengsan. Sekarang ni dia masih lagi tak sedarkan diri dan pihak Klinik Kesihatan nak bawak dia pergi ke hospital”.

“ Dan sekarang ni aku nak pergi ke bilik Iqram nak tolong kemaskan pakaiannya. Sebab kemungkinan besar pihak Klinik Kesihatan kata dia akan ditahan di wad”, sambung Amar lagi.

“ Oh yeke. Patutlah aku tak perasan pun dia tadi masa keluar dari dewan. Sham pun ada tanya aku tadi sama ada nampak Iqram atau tak sebab katanya diaorang nak balik kampung naik bas malam ni”, balas Huzaifah.

“ Itulah masalahnya. Tak apa nanti kau tolong bagitau kat Sham ye. Aku dah lambat ni sebab lepas ni aku nak kena tumpang kereta Prof. Norasilah ke hospital nak hantar pakaian Iqram. Kau nak ikut sekali?”,soal Amar.

“ Tak mengapalah. Kau pergi dulu nanti aku akan pergi sendiri lagipun aku nak pergi bilik Sham nak bagitau dia. Kalau ada apa-apa hal nanti kau telefon aku”, balas Huzaifah.

“ Okey Huzaifah aku pergi dulu ye”, ujar Amar yang segera berlari menuju ke bilik Iqram yang terletak di kolej Rimba.

Huzaifah melihat Amar yang berlari laju dan dalam beberapa minit tidak lagi kelihatan kelibat Amar dari tempatnya berdiri. Dalam hatinya masih lagi tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku kepada Iqram. Selama mereka berkawan rapat tidak pula pernah terjadi perkara sebegini. Sudah hampir sebulan Huzaifah dan Iqram tidak bertegur sapa. Namun tidak seorang pun yang tahu perkara ini walaupun secara zahirnya hubungan mereka tidak lagi serapat seperti selalu. Kalau tak, kemana sahaja mereka pergi pasti berdua sehingga ada rakan-rakan yang menggelarkan mereka sebagai kembar. Tapi entah mengapa sejak sebulan yang lalu hubungan mereka tidak lagi serapat dahulu kerana satu peristiwa yang benar-benar menguji persahabatan mereka.

jangan lupa nantikan sambungan cerpen ini...................