Sunday, February 8, 2009

CERPEN- WARKAH BUAT SAHABAT ( ep.3)

Sepanjang perjalanan pulang menuju ke kolej fikiran Huzaifah tidak henti-henti memikirkan peristiwa yang membuatkan hatinya menjadi marah dan geram kepada Iqram. Sedangkan mereka berdua sangat rapat sekali sebelumnya. Tapi peristiwa itu benar-benar membuatkan Huzaifah berkecil hati dengan Iqram dan akhirnya menyebabkan mereka langsung tidak bertegur sapa. Namun tiada seorang pun yang perasan akan persengketaan yang berlaku antara mereka berdua kerana mereka beranggapan masing-masing sedang sibuk dengan tumpuan masing-masing untuk peperiksaan akhir semester yang sedang berlangsung. Sedangkan pada hakikatnya terdapat persengketaan antara mereka.

“ Assalammualaikum “, Huzaifah memberi salam sesampai sahaja dia di muka pintu bilik Sham.

“ Waalaikumussalam”, sahut Nawi dari dalam bilik yang merupakan rakan sebilik Sham.

“ Oh Nawi, aku datang ni nak jumpa Sham. Die ada kat dalam bilik tak? Aku ada hal mustahak nak bagitau kat dia”, beritahu Huzaifah akan tujuan sebenar kedatangannya ke situ.

“ Sham tak ada kat bilik lah Huzaifah. Tadi dia baru je bergegas pergi ke hospital. Katanya ada kecemasan. Iqram masuk hospital”, jawab Nawi.

“ Oh macam tu ke? Sebenarnya tujuan aku datang ke sini juga adalah untuk bagitau dia hal yang sama. Sebab katanya mereka nak balik sama-sama malam ni”, balas Huzaifah lagi.

“ Kalau macam tu tak mengapalah.Aku minta diri dululah ye”, sambung Huzaifah lagi.

Lalu Huzaifah pun berlalu menuju balik ke biliknya yang terletak selang lima bilik dari bilik Sham. Sepanjang perjalanan balik ke biliknya, Huzaifah tidak henti-henti memikirkan tentang apa sebenarnya yang berlaku kepada Iqram sehingga menyebabkan dia jatuh pengsan tadi. Dalam fikirannya juga dia tidak henti-henti memikirkan persengketaan yang berlaku antara dia dan Iqram.

“ Huzaifah, aku nak minta maaf banyak-banyak dari kau. Aku tau aku dah buat salah yang benar-benar buat kau marah pada aku. Aku nak minta maaf sangat-sangat dari hujung rambut sampai hujung kaki. Tapi aku langsung tak pernah pun berniat nak sakitkan hati kau apatah lagi nak buat kau marah. Aku tau kata-kata aku semalam benar-benar dah buat kau terluka dan terasa hati. Tapi aku tak pernah berniat nak menyakitkan hati kau. I’m so sorry”, begitulah ucapan maaf yang yang disampaikan oleh Iqram kepada Huzaifah yang disampaikan melalui pesanan ringkas (sms).

Huzaifah merenung kembali mesej yang disimpan di dalam telefon bimbitnya yang diberikan oleh Iqram.

“ Huzaifah, maafkan aku sekali lagi. Mungkin hati kau belum terbuka lagi nak memaafkan aku atas apa yang telah aku lakukan pada kau. Mungkin aku jugak akan melakukan perkara yang sama andainya aku berada di tempat kau. Tapi satu yang perlu kau tahu aku benar-benar menyesal dengan apa yang telah berlaku dan aku benar-benar mengharapkan keampunan dan kemaafan dari kau. apa yang lebih aku harapkan agar kau tak menyimpan dendam terhadapku. Janganlah jadikan kesilapan ini sebagai batu penghancur kepada persahabatan yang telah lama kita bina ”, mesej yang dihantar oleh Iqram selang beberapa hari selepas itu.

Huzaifah membaca kembali mesej-mesej yang diberikan oleh Iqram yang disimpan di dalam telefon bimbitnya. Namun, setiap mesej yang diberikan oleh Iqram itu langsung tidak dibalas oleh Huzaifah kerana hatinya masih marah lagi dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Iqram ke atasnya yang benar-benar membuatkan hatinya terluka. Kata-kata Iqram yang memarahinya di hadapan rakan-rakan yang lain benar-benar membuatkan dirinya rasa terhina di hadapan khalayak ramai.

“ Wei, jauh kau termenung”, peranjat Shahrul dari belakang.

“ Ish kau ni Shahrul sama je dengan Sham suka sangat buat aku terkejut. Kalau ye pun bagilah salam dulu.Agaknya korang semua memang suka tengok aku mati terkejut agaknya”, marah Huzaifah.

“ Ala Huzaifah aku minta maaflah. Aku saja je nak bergurau dengan kau. Yelah lagipun aku tengok kau jauh termenung apa yang kau fikir?”.

“ Oh ya, cakap pasal Sham tadi aku tengok dia tergesa-gesa naik teksi nak pergi mana?”, soal Shahrul.

“ Dia nak pergi hospital melawat Iqram yang tadi jatuh pengsan lepas habis periksa tadi”, balas Huzaifah.

“ Habis tu kau tak pergi tengok sekali ke? Bukan ke kau dengan Iqram tu bukan main rapat. Macam kembarlah katakan mana je ada engkau mesti ada dia. Mana je ada dia mesti ada kau”, ujar Shahrul.

“ Memanglah. Tapi itu dulu. Sebenarnya dah dekat sebulan lebih aku dengan Iqram tak bertegur sapa”, terang Huzaifah kepada Shahrul.

“ Oh yeke. Patutlah aku dah lama tak nampak korang berdua jalan sama-sama lagi. Tapi kenapa?”, soal Sharul.

“ Entahlah, aku sebenarnya rasa marah sangat dekat dia sebab hari tu dia marah-marah aku depan orang ramai. Malu aku dibuatnya. Kalau betul pun dia nak tegur aku tapi biarlah dengan cara yang betul ini tak dia marah aku depan orang ramai. Itu yang buat aku marah sangat kat dia”, terang Huzaifah kepada Shahrul.

“ Oh pasal tu je ke. Aku ingat kenapa. Ala tu semua perkara kecik jelah. Maafkan jelah dia. Lagipun mungkin dia tak ada niat pun nak malukan kau depan orang ramai”, ujar Shahrul.

“ Entahlah Shahrul. Aku pun tak tau. Tapi aku benar-benar rasa terhina bila dia buat aku macam tu. Selama ni aku tak pernah pun malukan dia depan orang ramai macam yang dia buat kat aku. Aku rasa kalau kau kat tempat aku pun mungkin kau akan rasa apa yang aku rasa”, ujar Huzaifah dalam nada sedih.

Kring,kring…………………..

nantikan sambungan cerpen ini untuk episod 4...............

No comments: