Thursday, February 19, 2009

CERPEN- WARKAH BUAT SAHABAT ( ep.5)

Huzaifah lalu menyambut surat yang diberikan oleh Sham kepadanya yang ditulis oleh Iqram. Lalu, Huzaifah bergerak menuju ke satu sudut lain untuk membaca isi kandungan surat yang ditulis oleh Iqram untuknya.

“ Ke hadapan sahabatku Huzaifah………………………………..
Assalammualaikum. Semoga warkah yang aku titipkan buat kau ini tidak mengganggu hari-hari yang kau tempuhi dengan bahagianya. Aku titipkan warkah ini buat kau bukanlah bertujuan untuk memohon simpati dari kau apatah lagi untuk memohon belas kasihan dari kau. Tetapi tujuan sebenar aku menulis warkah ini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk memohon kemaafan dan keampunan dari kau atas apa yang telah aku lakukan pada kau sehingga membuatkan kau benar-benar marah dan benci terhadapku. Aku tahu dan sedar yang aku telah melakukan kesilapan yang besar dalam persahabatan kita sehingga membuatkan kau berasa sedih dan terhina dengan perlakuanku. Aku benar-benar menyesal akan apa yang telah berlaku. Aku sendiri tidak pernah mengiginkan semuanya berakhir begini dalam persahabatan yang telah kita bina. Panas yang ku sangka hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Satu perkarayang perlu kau ketahui aku tidak pernah berniat untuk memalukan kau dan apatah lagi membiarkan semuanya jadi begini. Tapi ketahuilah, aku jua insan biasa yang kerdil dan hina. Aku juga tidak berdaya untuk menolak segala apa yang telah terjadi namun yang pasti, aku sentiasa mengharapkan keampunan dan kemaafan dari Nya atas apa jua yang telah terjadi. Aku bersyukur kerana sepanjang perjalanan hidup ini aku dikurniakan teman-teman yang sentiasa memberikan aku sokongan dan dorongan yang tidak terhingga dan sentiasa berada disamping aku dalam senang mahupun susah. Paling aku bersyukur apabila Allah mengurniakan aku teman yang baik seperti kau Huzaifah. Alhamdulillah sepanjang hayatku ini aku begitu gembira apabila kau sentiasa sahaja menjadi temanku di kala senang atau susah. Kaulah sahabatku dalam ketawa mahupun duka. Tidak pernah sekali terlintas dihati aku untuk merahsiakan tentang penyakit yang aku hidapi ini dari pengetahuan rakan-rakan yang lain terutamanya kau Huzaifah. Tetapi aku tak mahu menyusahkan mahupun menimbulkan perasaan bimbang kepada kau dan rakan-rakan yang lain. Sebelum aku mengakhiri warkah ini aku mohon kepada kau untuk memaafkan aku walaupun tidak lahir dari dalam hati kau tetapi aku mengharapkan agar cukuplah sekadar ia lahir dari mulut kau sekurang-kurangnya ianya mampu membuat hatiku senang sebelum aku menghembuskan nafas terakhirku ini. Andainya ini warkah terakhir buatmu kerana mungkin kita tiada lagi kesempatan untuk bertemu, sekali lagi aku mohon kepadamu kemaafan atas segala kesilapan dan kesalahan yang aku lakukan dari hujung rambut sampai hujung kaki. Aku sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaanmu wahai sahabatku. Insyaallah………………………………………..
Sahabatmu,
Iqram

“ Iqram……………”, perlahan-lahan Huzaifah menyebut nama sahabatnya itu sambil berderai airmata yang mengalir di pipinya bagaikan tiada henti walaupun cuba ditahan.

Perlahan-lahan juga Huzaifah melipat kembali warkah yang ditulis oleh Iqram untuknya sebagai warkah untuk memohon maaf. Huzaifah mendapatkan kerusi yang terdapat di luar wad di mana Iqram ditempatkan sehingga airmatanya tidak henti-henti mengalir mengenangkan nasib sahabatnya itu.

Apa yang lebih membuatkan Huzaifah kesal ialah disaat sahabatnya itu memerlukan teman untuk mengadu namun dia tiada disampingnya. Sedangkan sewaktu dia sakit dahulu Iqram lah satu-satunya sahabat yang sentiasa berada disisinya walaupun sekadar demam biasa. Betapa sebenarnya Huzaifah begitu kesal dengan apa yang berlaku.

“ Doktor, doktor, doktor “, kedengaran suara Sham kelam kabut dari dalam wad Iqram ditempatkan.

“ Kenapa ni Sham? Apa yang dah berlaku”, soal Huzaifah.

“ Iqram…”, jawab Sham sambil termengah-mengah.

“ Aku rasa baik kau cepat masuk melawat Iqram. Aku nak panggil doktor sekejap”, sambung Sham lagi.

Sham segera begegas menuju ke kaunter untuk mendapatkan doctor. Serentak itu juga Huzaifah segera masuk ke dalam wad Iqram kerana dia takut jika tiada kesempatan lagi untuk dia bertemu dengan Iqram lagi buat kali yang terakhir.

“ Iqram, ni aku sahabat kau Huzaifah”, kata Huzaifah sambil memegang erat tangan sahabatnya itu.

“ Huzaifah, akhirnya kau datang jugak melawat aku”, balas Iqram dengan nada yang tersekat-sekat.

“ Huzaifah, mungkin aku dah tak ada masa lagi. Jadi aku nak minta maaf banyak-banyak kepada kau atas segala salah dan silap aku. Aku tau aku ada buat banyak salah kat kau”, sambung Iqram lagi dengan nada yang tersekat-sekat sampai airmata yang tumpah ke pipinya tanpa henti-henti.

“ Iqram, untuk pengetahuan kau aku dah lama maafkan kau dan aku tak pernah pun ambil hati dengan apa yang berlaku antara kita”, ujar Huzaifah yang tidak dapat menahan sebak melihat keadaan sahabat baiknya itu.

“ Aku pun betul-betul mohon maaf kepada kau sebab disaat kau menderita kesakitan aku tak ada disamping kau. Malahan apa yang lebih menyedihkan aku langsung tak tau yang kau menderita penyakit ni Iqram”, sambung Huzaifah lagi sambil airmata kekesalan tidak henti-henti berlinangan di pipinya.

Sahabat-sahabatnya yang lain juga turut sama mengalirkan airmata melihat apa yang berlaku di hadapan mereka. Mereka juga turut berasa menyesal kerana selama ini mereka tidak tahu akan adanya sengketa diantara dua orang sahabat karib itu.

nantikan sambungan seterusnya..............................

No comments: